Tuesday, August 1, 2017

~ Kek Kukus Lapis Horlicks Keju...

Sheery Dream Cakes | 12:31 PM | |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Bersiaran kembali bersama resipi kek kukus pada hari ni. Kek kukus lapis merupakan salah satu kek kegemaran seisi keluarga. Oleh sebab masih banyak stock cream cheese di rumah ni dan kebetulan pula ada yang teringin nak makan kek kukus lapis, jadi Diana buatlah kek kukus lapis yang dicampurkan dengan cream cheese. 

Resipi kek kukus lapis ni memang tidak jauh bezanya dengan Kek Kukus Lapis Horlicks Oatmeal yang pernah Diana kongsikan dulu. Cuma bezanya kali ini Diana bubuh beberapa bahan lain di dalam resipi ini untuk mendapatkan kek kukus lapis yang lebih moist dari yang lepas. Kenapa Diana masih mengekalkan resipi ini dan hanya menambah beberapa bahan sahaja? Semestinya resipi kek kukus lapis inilah yang digemari seisi keluarga. Itulah sebabnya Diana masih menggunakan bahan-bahan asas resipi yang lepas.

Jom semak resipinya di bawah.

KEK KUKUS LAPIS HORLICKS KEJU

Bahan-Bahan
  • 10 biji telur
  • 300 gm mentega berkualiti tinggi _ ( Diana biasa guna Anchor, SCS atau Golden Churn )
  • 120 gm minyak sapi
  • 200 gm cream cheese
  • 190 gm gula kastor _ ( kurangkan sukatan gula jika tidak suka manis dan bubuh 220 gm jika suka manis )
  • 1 tin kecil susu pekat manis ( 390 gm )
  • 170 gm Nestle cream
  • 1 tin sederhana seri kaya Yeo's ( 300 gm )
  • 1 botol kecil jem strawberry ( 170 gm )
  • 130 gm Nestle cerelac bijirin bayi ( gandum & madu )
  • 220 gm biskut Hup Seng cream crackers yang telah dikisar halus
  • 200 gm horlicks
  • 50 gm haw flakes kisar


Cara-Cara
  1. Didihkan air kukusan sebelum mengukus kek dan tutup penutup pengukus dengan aluminium foil / tuala bersih semasa mengukus kek. 
  2. Asingkan putih dan kuning telur. 
  3. Pukul putih telur bersama gula kastor sehingga kembang. Ketepikan.
  4. Kemudian pukul mentega bersama minyak sapi dan cram cheese sehingga sebati.
  5. Masukkan kuning telur dan pukul hingga kembang.
  6. Setelah itu, campurkan adunan putih telur dan gula halus tadi. Pukul rata.
  7. Masukkan Nestle cream dan pukul lagi hingga sebati.
  8. Masukkan susu pekat manis, seri kaya, jem strawberry, cerelac, biskut cream crackers kisar, haw flakes kisar serta horlicks. Pukul lagi hingga rata.
  9. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Warnakan adunan dengan warna pilihan pada setiap bahagian.
  10. Tuangkan satu adunan dan masukkan ke dalam loyang bersaiz 8" yang telah dialas dengan aluminium foil. Kukus sehingga kek masak.
  11. Setelah itu cucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester pada kek dan tekan dengan lembut dengan sudu plastik lembut. Lapis lagi dengan satu adunan warna berlainan dan kukus sehingga adunan kek masak.
  12. Buat begini sehingga adunan kek habis.
  13. Jangan lupa setiap kali kita membuat kek kukus, hendaklah dicucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester dan tekan secara lembut dengan sudu plastik sebelum melapis adunan seterusnya. 
  14. Untuk lapisan terakhir, masa mengukusnya hendaklah ditambah selama 30 minit supaya kek masak sekata secara keseluruhannya.
  15. Sejukkan dan simpan semalaman di dalam peti sejuk sebelum di potong dan dihidang.
  16. Masa untuk mengukus kek ini dalam 3 1/2 - 4 jam lamanya menggunakan api sederhana.

** NOTA ~
  • Kita boleh mengurangkan masa mengukus dengan melapis adunan kek ini nipis-nipis.
  • Sukatan gulanya tu boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing. 



0 comments: