Saturday, July 22, 2017

~ Resipi Nasi Tomato, Ayam Masak Merah & Acar Timun Mentah...

Sheery Dream Cakes | 11:50 AM | | |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Nasi Tomato biasanya dihidang semasa majlis perkahwinan, majlis sambutan rumah terbuka di hari perayaan atau ketika keramaian majlis keluarga. Ianya sesuai juga dihidang untuk makan malam atau menu makan tengahari seisi keluarga.

Nasi tomato merupakan menu makan malam kami seisi keluarga beberapa hari yang lepas. Digandingkan bersama ayam masak merah dan acar timun mentah. Nasi tomato ini sesuai juga dimakan bersama pajeri nanas. Tetapi di rumah ni hanya suami Diana sahaja yang suka makan pajeri nanas. Tu yang gandingkan sahaja nasi tomato ni bersama acar timun mentah.

Resipi nasi tomato ini Diana ikut dari blog Akak Ummi. Nasi ni memang sedap di tekak kami seisi keluarga. Memang berbaloi mencubanya. Jika anda ingin mencubanya, bolehlah rujuk resipinya di bawah ya.

Terima kasih buat Akak Ummi kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya akak. Terima kasih.

:: Resipi Oleh ~ Akak Ummi Zaihadi @ Home Sweet Home  ( TQ )

NASI TOMATO 

Bahan-Bahan
  • 3 1/2 cawan beras basmathi Moghul Faiza - basuh dan rendam 15 minit. Toskan. 
  • 4 1/2 cawan air
  • 1 cawan susu sejat Ideal 
  • 2 biji tomato - didadu kecil 
  • 4 sudu besar pes tomato 
  • 2 helai daun pandan - disimpul 
  • 1 sudu besar garam kasar 
  • 4 sudu besar minyak sapi Ghee 
  • 1 cawan kismis
  • 1 cawan gajus yg digoreng / dipanggang 
  • Bawang goreng secukupnya


Bahan Tumis
  • 2 batang kulit kayu manis 
  • 2 kuntum bunga lawang 
  • 3 biji buah pelaga 
  • 7 biji bawang merah - dimayang nipis 


Cara Memasak
  1. Panaskan minyak sapi dalam periuk dan tumiskan bahan tumis hingga naik bau. 
  2. Masukkan tomato, pes tomato dan kacau sebentar. 
  3. Masukkan beras basmathi dan daun pandan. Gaul rata sekejap. 
  4. Masukkan air, susu sejat dan garam. Kacau perlahan sekejap dan biar nampak mendidih sikit. 
  5. Tuangkan ke dalam periuk nasi elektrik ( rice cooker ) dan masak nasi seperti biasa. ( *akak terus tumis dalam periuk elektrik tersebut dan alihkan untuk masak seperti biasa ). 
  6. Bila nasi sudah kering, kaup nasi perlahan-lahan dari bawah ke atas, rata perlahan dan tabur kismis dan gajus. 
  7. Biarkan nasi masak elok. 
  8. Hidangkan dengan taburan bawang goreng, ayam merah tomato dan acar masak atau ( klik untuk resipinya )  acar timun mentah.

Ayam Masak Merah ni memag kegemaran Diana sejak kecil lagi. Diana jenis yang suka makan ayam masak merah yang dicampur dengan sedikit rempah kari. Biasa juga kita jumpa ayam masak merah seperti ini di majlis-majlis perkahwinan dan kenduri sekampung di sini. Cuma Diana jarang memasak ayam masak merah ni sejak beberapa tahun yang lalu. Anak kecil Diana memang kurang suka makan apa sahaja jenis menu yang dimasak merah. Tak kiralah ayam, daging atau makanan laut. Tetapi beberapa hari yang lepas, ada yang teringin nak makan ayam masak merah ni bersama nasi tomato. Baiklah, apa kata kita semak resipinya pula.

:: Resipi Oleh ~ skybluemelleymey

AYAM MASAK MERAH

Bahan-Bahan A
  • 1 ekor ayam _buangkan kulit dan dipotong ikut citarasa
  • Serbuk kunyit
  • Garam

Bahan-Bahan B ( Dikisar halus )
  • 6 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai

Bahan-Bahan C 
  • 2 biji bawang merah _ dihiris nipis
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang

Bahan-Bahan D
  • 2 tbsp serbuk kari daging + sedikit air _ ( Diana biasa guna serbuk kari Adabi atau Baba's ) 
  • 2 tbsp sos tomato Maggi _ ( boleh gantikan dengan tomato puri )
  • 1/2 cawan sos cili Maggi _ boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing
  • 3 tbsp cili boh
  • 1/2 tsp serbuk jintan putih
  • 1/2 tsp serbuk jintan manis
  • 1/2 cawan air atau secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Gula
  • Paste asam jawa jika suka _ ( optional )

Bahan-Bahan E
  • 1 biji bawang besar _ dihiris bulat
  • Daun sup _ dihiris
  • Cili merah  _ buangkan bijinya dan dihiris 
  • Kacang peas frozen atau yang di dalam tin
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis


Cara-Cara
  1. Campurkan kesemua bahan-bahan A dan gaul rata. Perap 10 minit.
  2. Panaskan minyak yang banyak dan goreng ayam sehingga masak tetepi jangan terlalu garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali yang lain. Masukkan bahan-bahan C sehingga wangi.
  4. Kemudian masukkan bahan-bahan B dan tumis lagi hingga garing.
  5. Masukkan bancuhan serbuk kari, cili boh, serbuk jintan manis dan jintan putih. Gaul dan masak sehingga kari betul-betul masak dan terbit minyak.
  6. Masukkan sos cili, sos tomato / tomato puri, sedikit garam, gula dan jika suka boleh bubuh sedikit paste asam jawa. Gaul rata. Masak sehingga semua bahan mesra.
  7. Tambahkan air, ayam goreng dan kacang peas frozen. Gaul rata dan masak sehingga mendidih dan kuahnya pekat.
  8. Akhir sekali bolehlah dimasukkan hirisan bawang besar dan cili merah. Gaul dan masak seketika.
  9. Tutupkan api dan taburkan hirisan daun sup.
  10. Hidang.



0 comments: